Selaku sebuah ekonomi kecil dan negara yang mengamalkan dasar perdagangan terbuka – pertumbuhan Malaysia pastinya akan terkesan sekiranya berlaku sebarang ketidakstabilan ekonomi dunia melibatkan isu krisis mahupun perubahan dasar perdagangan global. Walaupun berdepan cabaran itu, prestasi Malaysia dilihat kekal kukuh dan berupaya mencapai perkembangan sehingga 4.8% pada tahun ini.
Unjuran Bank Negara Malaysia (BNM) ini mengambilkira aliran perdagangan Malaysia yang dilihat kekal menggalakkan. Tidak sekadar permintaan pada barangan elektrik dan elektronik tetapi turut melibatkan aliran pelancongan yang kekal membrangsangkan.
Biarpun akui perdagangan negara akan berdepan kesan ketara susulan peningkatan tarif import bersama Amerika Syarikat (AS) namun ekonomi Malaysia dijangka dapat terus bersaing dan bertahan bersama dasar ekonomi semasa. Malah paras inflasi yang lebih sederhana turut membantu pengguna di Malaysia melaras kembali tekanan kos sara hidup mereka secara berkala. Setakat ini purata inflasi keseluruhan di Malaysia berupaya mencapai sekitar 2.3% pada tahun ini.