Berikutan permintaan kian kukuh daripada pasaran utama seperti China, Singapura, Hong Kong dan Kanada – nilai eksport durian Malaysia dijangka akan terus meningkat lepasi RM1.5 bilion pada tahun ini.
Jangkaan itu menurut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) adalah selaras dengan peningkatan permintaan semasa yang ketika ini telah melonjak 256.3% mewakili RM822.8 juta dalam tempoh 5 tahun sejak 2018.
Prestasi ini tidak sekadar memaparkan kualiti komoditi agromakanan tempatan yang semakin meningkat tetapi turut meluaskan peluang pada pasaran ekonomi Malaysia bersama permintaan antarabangsa.
Secara menyeluruh, mengikut penilaian global di bawah Mordor Intelligence – nilai pasaran durian dunia telah meningkat lebih $10.78 bilion pada tahun ini dan berupaya melonjak kepada $16.89 bilion menjelang 2030. Mengikut taburan data itu, China kekal selaku pengimport utama dengan lebih 90% daripada jumlah pasaran durian di Asia Pasifik. Kedudukan itu sekaligus menjadikan ia selaku rakan dagangan utama pada pasaran durian di Malaysia.
