Artikel

Sistem Pengambilan Tunggal Bagi Pelajar MRSM, SBP Akan Dilaksanakan – Mulai 2026

Bagi mengelakkan sebarang pertindihan tawaran berlaku akan kemasukan pelajar ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan sekolah khusus – mulai tahun 2026, Kementerian Pendidikan (KPM) akan melaksanakan sistem tunggal untuk pelarasan pengambilan tersebut. 

Ini bermakna dibawah sistem permohonan ini, hanya satu tawaran penempatan sahaja akan diberikan kepada setiap pemohon yang berjaya.

Langkah ini akan menyelesaikan isu penolakan tawaran yang berlaku susulan pelajar menerima tawaran berganda menyebabkan banyak kuota pendidikan di sekolah sedemikian tidak diisi. Situasi itu secara langsung telah menafikan hak pelajar lain yang berkelayakan.

Oleh itu pemilihan pelajar pada pendekatan baharu ini akan menggunakan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK), dan sistem permohonan akan diselaraskan secara dalam talian, termasuk melalui MyMRSM bagi pelajar dari sekolah swasta.

Dengan sistem tunggal ini, ia tidak sekadar mengatur kembali pengagihan tawaran pendidikan kepada pelajar dengan pendekatan yang lebih baik tetapi turut menambahbaik ekosistem pendidikan berasrama penuh di Malaysia.