Artikel

RUU E-Dagang Dijangka Bentang Seawal 2026 Ini 

Setelah menjalankan semakan berhubung perundangan e-dagang ada April 2024, kerajaan Malaysia kini memaklumkan pembentangan Rang Undang-Undang e-Dagang negara akan dilaksanakan seawal 2026 kelak – iaitu pada sidang pertama Parlimen 2026.

Notis menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menjelaskan, kerangka RUU e-Dagang akan selesai pada Ogos ini sebelum dibentang bersama sidang Parlimen.

Seperti yang umum ketahui ketiadaan punca kuasa pengawalan arena e-dagang negara dilihat telah mendedahkan pengguna kepada risiko penipuan. Dengan sekadar bergantung kepada Akta Perdagangan Elektronik 2006 yang tertakluk bersama Akta Perlindungan Pengguna ia dilihat tidak mengawal permasalahan yang timbul secara menyeluruh bersama pengguna e-dagang. Maka pelaksanaan RUU ini penting untuk membantu negara meningkatkan tahap keselamatan dan menambahbaik pulangan kepada ekonomi negara.

Usaha ini dilihat berupaya beri nilai tambah kepada arena e-dagang yang ketika ini telah mencapai nilai pendapatan sekitar RM1.22 trilion dan berupaya berkembang kepada RM1.5 trilion pada tahun ini.