Artikel

Kesan Tekanan Ekonomi Dunia, 138 Juta Kanak-Kanak Kini Berstatus Buruh – ILO

Di sebalik gagasan dunia untuk mengatasi isu kemiskinan, realitinya masih banyak nyawa yang kekal terperangkap dalam tekanan ekonomi berikutan desakan hidup. Tahukah anda berdasarkan rekod 2024, seramai 138 juta kanak-kanak kini dikategorikan sebagai buruh, angka ini mewakili 59 juta kanak-kanak perempuan dan 78 juta pula kanak-kanak lelaki tetapi 54 juta daripadanya dijelaskan terlibat dalam sektor pekerjaan yang berbahaya. Berupaya mengancam keselamatan, kesihatan dan perkembangan fizikal serta mental mereka.

Situasi ini menurut tinjauan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) bersama UNICEF pada Jun lalu jelas menunjukkan berlakunya pencabulan hak asasi ke atas kanak-kanak dunia dan matlamat pihak berkuasa untuk basmikan kemiskinan masih lagi jauh untuk dicapai sebagaimana yang dirancang pada tahun 2025.

Status miskin tegar bersama kedudukan ekonomi yang tidak stabil disebabkan ketamakan pemimpin politik dunia – secara langsung telah memperjudikan kumpulan kanak-kanak di sebilangan negara terutamanya benua Afrika dan Asia yang memaparkan rekod majoriti buruh paksa. Ketiadaan pendapatan yang mencukupi untuk penuhi keperluan asas keluarga telah mendorong kanak-kanak ini untuk bekerja menambah pendapatan mereka. Secara sukarela mahupun paksaan.

Keperluan itu tanpa sedar telah menamatkan akses pendidikan ke atas kanak-kanak ini, susulan lebih mengutamakan perbelanjaan pada keluarga berbanding pendidikan sendiri. Walaupun jumlah buruh kanak-kanak ini telah alami penurunan dengan lebih 20 juta kanak-kanak sejak tahun 2020. Tetapi kenyataan itu tidak melegakan semua pihak. Ini kerana masih ramai lagi kanak-kanak yang perlu berdepan tekanan pekerjaan tanpa mereka rela.

Selain usaha organisasi kemanusiaan, sokongan kerajaan pada setiap negara terlibat juga perlu dipertingkatkan. Ini meliputi kebersamaan dalam mengukuhkan perundangan, melaksanakan dasar perlindungan sosial yang lebih berkesan dan meningkatkan pelaburan pendidikan untuk membantu kumpulan keluarga kanak-kanak berpendapatan rendah.

Yang jelas peranan ini dituntut oleh semua pihak termasuklah secara individu. Setiap sokongan yang dipamerkan secara langsung meningkatkan lagi hak kanak-kanak tersebut untuk meraih masa depan yang lebih cerah dan bebas dari bebanan pekerjaan ketika ini.