Bermula tahun ini sehingga 2027, Malaysia menyasarkan persediaan pelaksanaan Sistem Alamat Nasional (NAS) secara menyeluruh dapat direalisasikan.
Sebagai perincian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjelaskan tahun 2025 adalah fasa kajian, diikuti tahun 2026 pula pembangunan sistem bagi projek rintis akan dilaksanakan untuk perhalusi pembangunan aplikasi NAS. Selanjutnya tahun 2027 akan memberi tumpuan kepada penyusunan dan pengesahan kualiti data pada aplikasi.
Ketika ini sejumlah RM700 juta telah dibelanjakan Malaysia bagi mendapatkan maklumat berkaitan perkhidmatan geospatioal dan navigasi utama dari luar negara.
Secara menyeluruh dengan usaha NAS, ia akan menjadi fungsi sumber alamat yang sah dan diiktiraf oleh kerajaan negara. Medium ini sekaligus akan menjadi sumber rujukan utama dalam pengurusan lebih 12 juta alamat diseluruh Malaysia. Buat pengetahuan umum ketika ini Malaysia berdepan cabaran susulan ketidakseragaman pengurusan alamat yang mengakibatkan percanggahan lokasi serta kekeliruan pada semakan data. Cabaran ini diperlihat berlaku pada pengurusan alamat yang tidak berstruktur khususnya di kawasan luar bandar, kampung serta lokasi bandar yang padat.