Pada era yang serba kemudahan digital, tabiat berbelanja secara atas talian tidak lagi dilihat sebagai tindakan yang aneh bahkan sudah menjadi norma kalangan penduduk negara. Akan tetapi perlu diakui disebalik kemudahan itu, pastinya terdapat risiko tersembunyi yang wajar menjadi perhatian pengguna iaitu tahap keselamatan tatkala melaksanakan transaksi.
Pada perkongsian podsiar Pesuruhjaya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Derek Fernandez bersama Scoop Insight minggu ini, terdapat beberapa penekanan yang menarik diketengahkan – antaranya menjadikan kad kredit selaku pilihan utama bagi transaksi secara atas talian berbanding kad debit.
Kad Kredit Miliki Perlindungan Berganda Berbanding Kad Debit
Menurut Derek, kad kredit secara asasnya menyediakan perlindungan yang lebih tinggi berbanding kad debit sekiranya berlaku aktiviti transaksi yang mencurigakan atau tindakan penipuan pembayaran. Ini kerana penggunaan wang dari kad kredit adalah wang milik bank bukan wang tunai dari simpanan pengguna dan pelaburan sekuriti yang dilaksanakan segmen kad kredit ini adalah tinggi.
Maka dengan tahap perlindungan berganda ia secara langsung akan membantu pengguna susulan perbankan akan melaksanakan siasatan lanjut berhubung kegiatan penipuan tersebut dan membantu pengguna mendapatkan semula kerugian yang dialaminya. Situasi ini secara jelas akan mengurangkan risiko kewangan pengguna di pasaran semasa.
Sebaliknya berbeza jika anda menggunakan kad debit sebagai pilihan utama pembayaran atas talian. Ini kerana jika butiran kad debit pengguna tertiris maka potensi untuk kehilangan wang simpanan di dalam akaun bank adalah tinggi. Dan peratusan untuk meraih semula kerugiaan itu adalah sangat rendah berikutan wang tersebut tidak terikat dengan sebarang kepentingan bersama perbankan dan proses semakan lanjut berupaya memakan masa yang lebih lama. Pada akhirnya, bank kad debit anda sekadar meningkatkan tahap keselamatan transaksi secara berkala untuk mengelakkan isu penipuan tersebut dari berulang.
Selain Sumber Pembiayaan – Pengguna Raih Lebih Banyak Ganjaran
Selain memiliki perlindungan yang lebih tinggi, Rnggt melihat penggunaan kad kredit yang sihat turut akan membantu pengguna mengumpul mata ganjaran serta faedah tertentu dalam perbelanjaan. Buat pengetahuan umum, dengan pembayaran semula secara konsisten, pengguna akan meraih ganjaran eksklusif, di mana faedah ini boleh ditebus untuk sebarang perbelanjaan tertakluk kepada tawaran yang disediakan kad kredit anda. Ini termasuklah penebusan baucar, barangan, tiket penerbangan, diskaun istimewa bahkan berpotensi meraih pulangan tunai.
Penggunaan kad kredit yang bijak tidak sekadar meningkatkan tahap keselamatan pembayaran tetapi turut membantu memberi penjimatan pada perbelanjaan di masa hadapan.
Miliki Rekod Sejarah Kredit Yang Cemerlang
Dengan penggunaan kad kredit secara berhemah dan bertanggungjawab, Rnggt juga tekankan para pengguna secara langsung akan miliki rekod pengurusan kewangan yang cemerlang! Bagaimana ia berlaku? Tahap skor kredit yang sejahtera akan diraih pengguna sekiranya anda laksana pembayaran bil kad kredit tepat pada waktunya dan penggunaan tidak lebihi had kredit yang ditetapkan. Status ini sekaligus memberi gambaran kepada institusi kewangan bahawa anda adalah kumpulan pengguna yang berdisplin. Tidak sekadar memiliki perlindungan, meraih ganjaran dan rekod kewangan yang baik – kelak anda juga akan lebih mudah meraih kelulusan pada setiap pemohonan melibatkan apa-apa kategori pembiayan seperti rumah mahupun kenderaan.
Rekod ini adalah penting kerana ia juga berupaya mempengaruhi kadar faedah pembiayan yang akan dikenakan kepada pengguna di masa hadapan kelak.
Secara menyeluruh, pengguna dinasihati untuk sentiasa berwaspada dalam pengurusan kewangan anda khususnya isu utama pada artikel ini berkenaan saranan SKMM ketika berbelanja secara atas talian. Dengan mengambilkira faktor tambahan yang digarapkan Rnggt tentang kelebihan menggunakan kad kredit ini, diharap semua pengguna lebih peka akan manfaat disebalik mengutamakan kad kredit untuk mengelak dari risiko kerugian penipuan secara atas talian. Bagi pihak yang kekal selesa menggunakan kad debit sebagai pilihan utama, usah risau anda masih boleh berbuat demikian namun disarankan untuk menggunakan akaun bank berasingan bagi tindakan perbelanjaan. Langkah ini akan membantu pengguna mengurangkan risiko kerugian besar ke atas simpanan semasa.