Artikel

LHDN Maklum Sistem e-TT Ditutup Sementara – Pada 17-21 Julai Ini

Bermula 17 Julai sehingga 21 Julai ini, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memaklumkan sistem e-Pindahan Telegrafik (e-TT) akan alami penutupan sementara berikutan tindakan penyelenggaraan untuk menambahbaik kemudahan bersama pengguna.

Menerusi makluman itu, e-TT yang berperanan selaku sistem yang yang menjana Nombor Akaun Maya (VA) atau rekod khas bagi sebarang transaksi cukai yang dilaksanakan, dimaklumkan akan ditambahbaik. Selain itu, tujuan penyelenggaraan ini turut akan perkenalkan penghantaran resit pembayaran cukai secara terus ke emel pengguna kelak.

Maka sepanjang penutupan sistem tersebut, LHDN memaklumkan pembayar cukai seperti Cukai Pendapatan, Cukai Pegangan, Cukai Pendapatan Petroleum, Kompaun, Penghibur Awam serta Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) masih boleh dilunaskan dengan kaedah pembayaran alternatif. Di mana pengguna boleh guna nombor bil dan Nombor Pengenalan Cukai (TIN) pada saluran laman rasmi LHDN (melalui FPX), ejen perbankan yang dilantik serta Pos Malaysia – untuk melunaskan pembayaran tersebut.

Dengan saranan ini, segala pembayaran cukai mahupun tunggakan kekal boleh dilaksanakan biarpun sistem e-TT ditutup buat sementara. Jelas LHDN, sistem e-TT akan dibuka pada 22 Julai kelak dan memerlukan pembayar cukai jana nombor VA baharu selepas tempoh tersebut untuk sebarang tindakan pembayaran.