Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 (PSA) kini telahpun mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bagi pelaksanaannya dalam masa terdekat. Persetujuan ini secara langsung akan mengembalikan semula status Parlimen Malaysia selaku entiti bebas, tanpa terikat dengan arahan eksekutif sebagaimana pernah dijalankan sebelum ia dimansuhkan pada 1992.
Penguatkuasaan akta ini menurut Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul akan memberikan Parlimen kuasa autonomi untuk menentukan dasar serta pengurusan pentadbiran Parlimen Malaysia selepas 33 tahun. Ini bermakna ia akan miliki kuasa pengurusan petugas, kewangan serta hal ehwal pentadbiran tanpa campur tangan badan eksekutif.
Usaha ini sekaligus akan perkasakan Parlimen selaku institusi yang bebas dan cekap. Buat pengetahuan umum, PSA sebelum ini telah diperkenalkan pada 1963 namun telah dimansuhkan pada 1992 dan diletakkan di bawah pengendalian Jabatan Perdana Menteri.