Artikel

Worldwide Entech Tempa Rekod – Jadi Syarikat Pertama Ubah Tapak Pelupusan Sanitari Ke Taman Rekreasi

Siapa sangka tapak seluas 100 ekar di Puchong ini yang dahulunya berperanan selaku tapak pelupusan sanitari kini ia telah berubah wajah menjadi taman rekreasi yang memberi pulangan kepada komuniti setempat. Hasil perubahan itu, Worlwide Entech kini jadi syarikat pertama di Malaysia yang meraih pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) susulan kejayaan mengubah peranan tapak tersebut kepada taman rekreasi yang kini dikenali Worldwide Landfills Park.

Pengiktirafan ini menjelaskan komitmen syarikat dalam membantu negara meningkatkan usaha kelestarian di samping memulihkan semula alam sekitar di Malaysia. Lebih menarik, pada tahun 2004 tapak yang sama turut menerima pengiktirafan MBOR atas kejayaan projek penjanaan tenaga elektrik dari gas tapak pelupusan iaitu gas metana – hasil pereputan sisa pepejal.

Tindakan itu dilihat antara pencapaian lestari yang penting pada persekitaran semasa negara.

Buat pengetahuan umum Air Hitam Sanitary Landfill di Puchong ini adalah tapak pelupusan sisa pepejal pertama di Malaysia yang dibentuk pada Disember 1995. Namun kesan kapasitinya mencapai tahap maksimum, tapak seluas 100 ekar ini telah ditutup pada Disember 2006 setelah 11 tahun beroperasi.