Artikel

Trump Kenakan Tarif 200% Ke Atas Ubat-Ubatan Import – Beri Masa Setahun Buat Syarikat Farmaseutikal Bersedia

Menyedari kadar kebergantungan Amerika Syarikat (AS) terhadap pembekalan perubatan – Presiden Donald Trump kini memaklumkan potensi pengenaan tarif sehingga 200% ke atas ubat-ubatan yang memasuki pasaran AS kelak.

Pengenaan itu bagaimanapun masih diperingkat amaran susulan AS memberi tempoh setahun kepada semua pihak farmaseutikal untuk menyesuaikan operasi mereka sebelum cukai tersebut direalisasikan.

AS menegaskan tindakan ini telahpun diteliti sejak April di bawah siasatan Seksyen 232 berikutan pembekalan tersebut termasuk di bawah pemantauan sekuriti negara. Melihat pada tindakan agresif tersebut, situasi ini dijangka akan memberi kesan yang tinggi kepada pembekal ubat-ubatan di AS. Buat pengetahuan umum AS adalah negara pengimport farmaseutikal terbesar di dunia. Data 2024 sahaja menunjukkan nilai import yang dilaksanakan AS mencapai $234 bilion.

Antara negara yang terlibat memberi pembekalan ubat-ubatan kepada AS adalah seperti Ireland, Switzerland dan China. Keadaan ini tidak sekadar merumitkan pembekal antarabangsa bahkan pengeluar domestik di AS, yang perlu merangka kembali perbelanjaan pengeluaran ubatan di pasaran domestik.