Bermula 1 Oktober ini, potongan caruman 2% bulanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja asing dan majikan akan dikuatkuasakan untuk caruman November 2025.
Melalui perluasan caruman mandatori ini ia sekaligus menuntut semua majikan untuk melaksanakan caruman KWSP kepada pekerja bukan warganegara di Malaysia. Ia merangkumi kumpulan yang miliki pasport dan pas kerja yang sah dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia. Maka ke arah pelaksanaan itu, ini apa yang kumpulan majikan perlu fahami akan perlaksanaan tersebut.
Syarikat Perlu Berdaftar Selaku Majikan KWSP
Menurut notis KWSP, syarikat yang memiliki pekerja asing perlulah berdaftar dengan KWSP selaku pihak Majikan KWSP untuk melunaskan tanggunjawab caruman tersebut. Kegagalan berbuat sedemikian secara langsung akan menafikan hak pekerj asing bagi tindakan simpanan persaraan mereka.
Oleh itu, kumpulan syarikat boleh melaksanakan pendaftaran pada dua saluran iaitu secara atas talian menerusi laman web KWSP – di mana hanya syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sahaja dibenarkan untuk menggunakan saluran ini bagi tindakan pendaftaran. Sementara saluran kedua pula iaitu merujuk kepada kaunter fizikal KWSP adalah terbuka kepada semua syarikat termasuklah syarikat Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) dan entiti perniagaan lain.
Caruman 2% Perlu Dibayar Bermula Gaji Oktober 2025
Majikan diperincikan hendaklah membayar caruman kepada pekerja bukan warganegara bermula gaji Oktober 2025 ini. Ia bermakna 2% syer majikan dan 2% syer pekerja asing perlu dilunaskan pada gaji Oktober bagi caruman November 2025 kelak. Difahamkan tarikh pembayaran tersebut perlulah sebelum atau pada 15 November 2025 ini.
Untuk kemudahan tersebut, proses bayaran caruman ini boleh dijalankan pada saluran atas talian i-Akaun Majikan, aplikasi mudah alih e-Caruman serta perbankan internet melalui mana-mana perbankan berkaitan. Tidak hanya itu, caruman juga boleh dilaksanakan pada kaunter ejen bank seperti Maybank, RHB, BSN, Public Bank mahupun kaunter KWSP terpilih.
Majikan Perlu Simpan, Kemas-Kini Rekod Penggajian Pekerja Asing
KWSP juga menuntut semua kumpulan majikan yang terlibat untuk konsisten menyenggara rekod penggajian pekerja asing. Keperluan ini antaranya meliputi tindakan simpanan rekod dan mengemaskini maklumat seperti dokumen pengenalan diri, tarikh tamat pasport, jenis pas pekerjaan, nombor keahlian KWSP dan segala rekod berkaitan pembayaran gaji mahupun potongan caruman.
Tindakan ini penting untuk menjamin segala kriteria caruman dapat dipenuhi dan hak pekerja asing yang terlibat terus dipelihara tanpa sebarang penindasan. Selain rekod penggajian pekerja, majikan turut perlu kemas-kini segala rekod berkenaan status syarikat. Perihal ini untuk mengelak sebarang kekeliruan dan percanggahan berhubung operasi syarikat. Malah sekiranya majikan tidak lagi menggaji pekerja asing, maka makluman pemberhentian pekerja yang terlibat juga perlu dikemukakan bersama KWSP – untuk pembaharuan rekod caruman.
Adanya pematuhan sedemikian, ia dijangka akan memudahkan semua majikan berkaitan untuk melunaskan tanggungjawab caruman bersama kumpulan pekerja asing di Malaysia. Buat pengetahuan umum, pelaksanaan caruman 2% KWSP pekerja asing ini telah melalui proses lebih 30 sesi libat urus bersama pelbagai pihak berkepentingan. Perluasan ini sekaligus meningkatkan hak simpanan hari tua bersama semua kumpulan pekerja di Malaysia.