Tatkala Malaysia masih menanti akan paras tarif import Amerika Syarikat (AS) yang telah disemak kembali sejak bulan lalu – Presiden Donald Trump dilihat terus mengorak langkah yang agresif apabila memaklumkan 10% tarif tambahan ke atas negara yang menyertai pakatan BRICS.
BRICS untuk makluman adalah blok ekonomi yang diawalnya dianggotai Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan – yang bertindak memastikan kestabilan ekonomi dan kuasa politik sesebuah negara terus diperlihara tanpa dicabar akan krisis, sentimen melibatkan negara maju di Amerika Utara dan Eropah Barat. Agenda ini tidak sekadar mengukuhkan kedudukan dan prestasi ekonomi bahkan turut ingin mengekang dominasi mata wang yang dikelola dolar Amerika Syarikat (AS) pada pasaran global.
Jelas Trump pada notis pendeknya di platform X, mana-mana negara yang menyokong dasar anti-AS seperti BRICS maka akan berdepan 10% tarif tambahan. Pelaksanaan itu dijelaskan tiada sebarang pengecualian untuk yang mengikuti dasar blok ekonomi tersebut.
Melihat pada notis amaran ini, terdapat potensi untuk Malaysia terpalit sama akan kesannya susulan status semasa menunjukkan negara selaku rakan kongsi BRICS bermula Januari 2025 lalu. Namun potensi ini bagaimanapun masih tidak diketahui secara menyeluruh berikutan ia berupaya sekadar memberi kesan kepada negara anggota semata tidak rakan kongsi.