Artikel

Cadangan Akta Lindungi Individu Yang Hulur Bantuan Kecemasan Diteliti – Hindari Saman Cuai

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) miliki cadangan untuk perkenalkan undang-undang Good Samaritan – yang bertujuan beri pelindungan kepada individu yang menghulurkan bantuan kecemasan kepada pihak lain, daripadan tindakan saman sekiranya berlaku sebarang kecederaan yang tidak diingini sewaktu bantuan dilaksanakan.

Ini bermakna, kumpulan individu ini tidak lagi perlu khuatir akan sebarang tindakan perundangan ke atas mereka sewaktu bantuan kecemasan dihulurkan.

Usaha ini jelas KKM, tidak sekadar membantu orang awam daripada implikasi perundangan dan jumlah denda tetapi turut menggalakkan semua pihak bertindak ketika berlakunya kecemasan di mana jua. Pertolongan cemas dilihat berupaya meningkatkan kadar kelangsungan hidup dan keperluan ini adalah sejajar dengan amalan kesihatan di peringkat antarabangsa.

Buat pengetahuan umum, untuk setiap minit yang berlalu tanpa campur tangan orang awam, berpotensi menurunkan peluang kelangsungan hidup pesakit sekitar 10% berdasarkan keperluan Community First Responders (CFR).

Jelas KKM, pertimbangan cadangan ini akan dikemukakan pada sidang Parlimen tahun hadapan dan akan diteliti pelaksanaannya mengikut rujukan amalan daripada negara lain selaku penanda aras untuk pasaran Malaysia.