Selaras dengan matlamat negara untuk melandaikan isu pembuangan sisa di persekitaran semasa, Selangor kini optimis untuk meraih status bebas plastik sebelum 2030 – jangkaan ini antaranya didorong langkah penguatkuasaan penggunaan plastik yang kini sedang dilaksanakan di peringkat pentadbiran negeri.
Menurut Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor Jamaliah Jamaluddin perihal itu antaranya melibatkan proses pindaan Undang-Undang Kecil (UUK) bagi pelaksanaan Hari Tanpa Beg Plastik di fasa akhir untuk 12 lokasi pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri.
Selain usaha itu Selangor turut memberi penekanan kepada usaha perkukuhkan kerjasama dengan pelbagai pihak untuk menamatkan penggunaan plastik ini tidak hanya melibatkan kolaborasi bersama badan bukan kerajaan (NGO) bahkan kumpulan usahawan sosial, pempengaruh dan komuniti tempatan.
Selanjutnya, pihak negeri juga telah memulakan projek rintis SelKitar dan Program Kitar Semula Sisa Elektronik bagi merealisasikan matlamat ekonomi kitaran. Usaha ini akan membantu negeri melupuskan sisa dan mengelakkan berlakunya penyusutan penggunaan sumber asli di masa hadapan.