Selain kumpulan dewasa, kanak-kanak di Malaysia juga dilihat terdedah akan penggunaan peranti pintar meskipun masih diperingkat awal usia. Pendedahan ini secara langsung turut meningkatkan masa skrin mereka tanpa disedari yang berpotensi menganggu tahap kesihatan penglihatan mereka.
Meneliti isu tersebut, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha kini mencadangkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk pertimbangkan pemeriksaan mata sebagai syarat wajib ketika pendaftaran murid Tahun Satu dilaksanakan.
Perihal ini berikutan data saringan penglihatan yang didapati dari 5 sekolah rendah di sekitar KL pada 2024 – memaparkan 88% alami rabun, 4% pula rabun warna dan 8% alami masalah juling.
Isu kesihatan mata ini secara jelas berupaya menjejaskan perkembangan motor kognitif dan bahasa kalangan kanak-kanak negara. Buat pengetahuan umum, KPM pada Januari lalu telahpun memulakan program kesan isu rabun kalangan murid Tahun Satu daripada pendapatan B40 dan M40.
Setakat ini, inisiatif tersebut telah dilaksanakan secara rintis di sekitar 16 buah sekolah Putrajaya untuk menerima sokongan cermin mata secara percuma bagi menangani isu penglihatan mereka. Selain usaha tersebut, Kementerian Wilayah turut hadir dengan Program Mata Hati Wilayah di KL, yang turut menawarkan sokongan dan bantuan cermin mata kepada kumpulan pelajar yang memerlukan.
Maka dengan pertimbangan cadangan ini, ia sekaligus dapat memudahkan pihak sekolah dan kementerian lebih memahami serta meraih data yang terperinci akan isu penglihatan yang didepani murid sekolah rendah di pasaran semasa dengan lebih luas lagi.