Amerika Syarikat (AS) memaklumkan pemberitahuan kadar tarif import baharu akan mula dimaklumkan pada minggu ini, di mana pentadbiran Donald Trump ini akan menghantar surat pelarasan kadar tarif baharu secara berperingkat mulai hari ini (4 Julai) – ke kumpulan negara yang berkaitan termasuklah Malaysia.
Pelarasan kadar tarif ini menurut pentadbiran AS telahpun diteliti hasil perbincangan berkala dan pelbagai faktor yang berbangkit, di mana pelarasan ini ditakrifkan ‘sangat adil’.
Namun jika masih terdapat negara yang tidak bersetuju akan penetapan kadar tarif tersebut, maka Trump memberi amaran untuk kumpulan negara ini mengeluarkan produk mereka di AS.
Untuk makluman umum, ketika ini terdapat lebih 60 buah negara berdepan tekanan tarif import sehingga 50% sementara semua negara import dikenakan tarif asas sekitar 10%. Berikutan pelarasan itu, pengenaan kadar tarif lebihi 10% telahpun ditangguhkan sehingga 9 Julai ini susulan AS membuka ruang rundingan bersama negara yang terkesan.
Maka dengan keputusan yang akan diketahui secara menyeluruh menjelang tarikh tamat penangguhan tarif 9 Julai – pengenaan kadar tarif baharu itu tidak sekadar menandakan permulaan fasa baharu untuk perdagangan AS bahkan memberi dinamik yang berbeza buat pasaran ekonomi dunia.