Artikel

Pembiayaan Malaysia Papar Lonjakan – Kerajaan Terbitkan RM40 Bilion Bon Pada Suku Kedua 2025

Pasaran bon semasa kini menyaksikan kerajaan Malaysia selaku penerbit bon terbesar bagi suku kedua 2025 ini, dengan melibatkan nilai terbitan mencapai RM40 bilion.

Data di bawah Bond Pricing Agency Malaysia (BPAM) menjelaskan langkah tersebut melibatkan terbitan Bon Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) yang merupakan instrumen hutang jangka pendek dan panjang yang ditawarkan kepada pelabur.

Melalui tindakan penjualan bon ini ia adalah pendekatan asas dalam langkah pengumpulan dana. Hasil perolehan dana daripada terbitan bon itu secara langsung akan diguna untuk membiayai pembangunan negara, menampung defisit fiskal, pengurusan hutang serta bertujuan mengekalkan kecairan pasaran.

Secara menyeluruh tindakan ini sekaligus menjadikan kerajaan selaku pemain dominan dalam pasaran bon pada suku kedua. Ini antara faktor turut menjadi petunjuk kepada keyakinan pelabur terhadap bon kerajaan Malaysia.