Artikel

Pusat Data Malaysia Berdepan Kenaikan Kos Elektrik – Disasar Sehingga 15% 

Seiring dengan pelarasn tarif elektrik baharu yang dikuatkuasakan pada Julai ini, dijangka antara pihak yang berdepan kesan kos tambahan adalah rangkaian pusat data di Malaysia.

Menurut laporan TheEdge, kumpulan penganalisis pada penyertaan sesi taklimat pelabur bersama Tenaga Nasional Bhd (TNB) ini didapati pusat data diletakkan di bawah ketegori baharu iaitu voltan ultra-tinggi dengan tarif purata sekitar 60 sen bagi setiap kilowatt-jam (kWh).

Berdasarkan kategori itu, firma penyelidikan Public Investment Bank menganggarkan sebuah pusat data yang berskala 100 megawatt berupaya berdepan peningkatan kos operasi secara tahunan sehingga RM63 juta.

Situasi itu secara jelas akan memberi bebanan kos tambahan kepada kumpulan pusat data yang menggunakan lebih banyak tenaga. Ini berikutan operasi yang berlangsung selama 24 jam, diikuti sistem penyejukan yang menjadi antara penyumbang kepada penggunaan tenaga yang lebih besar.

Kesan daripada kenaikan kos ini, berpotensi mendorong kumpulan pusat data untuk mencari penyedia tenaga alternatif atau pertimbangkan peralihan kepada lokasi dengan kos elektrik yang lebih rendah.


Secara menyeluruh pasaran pusat data di Asia Tenggara berpotensi mencapai perkembangan lebih 5% pada setiap tahun dan mencapai nilai $14.4 bilion menjelang 2029 kelak. Ke arah potensi perkembangan ekonomi tersebut, setakat ini terdapat 38 pusat data yang telah beroperasi di Malaysia dengan jangkaan tambahan 19 pusat data lagi pada tahun ini.