Kemampuan miliki rumah sendiri kini tidak sekadar tertumpu pada penawaran harga semata tetapi turut dinilai berdasarkan kualiti dan faktor sokongan yang lain. Tahukah anda biarpun pembinaan kediaman terus memaparkan peningkatan sebanyak 30.2% secara tahunan di pasaran Malaysia, namun sebaliknya berlaku pada aliran permintaan. Yang mana jumlah dan nilai transaksi pembelian untuk kediaman di Malaysia dilihat kini menurun sebanyak 6.2% dan 8.9%.
Prestasi ini mengikut Pengurus Property dan iProperty Malaysia, Kenneth Soh didorong akan tindakan yang lebih berhati-hati kalangan pembeli rumah di Malaysia.
Berdasarkan perincian untuk pasaran di Kuala Lumpur – didapati kediaman bertingkat tinggi alami penurunan pembelian paling ketara dengan harga susut sebanyak 7.3% pada rekod sukuan. Ini menjadikan ia penurunan harga kediaman tertinggi dalam kalangan jenis hartanah. Malah mengikut data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) – lebihan bekalan unit telah meningkat sebanyak 14.8% secara tahunan dengan kediaman yang tidak terjual adalah kalangan kondominium bernilai RM200,000 sehingga RM300,000.
Berbeza dengan pasaran di Pulau Pinang yang menunjukkan tumpuan pembelian unit kondominium meningkat – pemantauan pembelian unit ini direkodkan naik 9.1% susulan jangkaan pelaburan yang tinggi berikutan pembangunan infrastruktur seperti LRT laluan Mutiara kelak. Tetapi kategori untuk rumah bernilai lebih RM1 juta dilihat semakin menurun – ini menunjukkan berlakunya peningkatan pada penolakan harga rumah yang premium.
Sementara pasaran rumah di Johor pula secara jelas terus menguji kesabaran pembeli berikutan harga rumah di negeri tersebut kekal meningkat dengan rekod kenaikan 8.7% secara tahunan, khususnya ke atas kategori rumah bertingkat tinggi. Namun pasaran negeri ini memaparkan penurunan pada unit kediaman berperkhidmatan yang menurun sekitar 19.5%.
Melihat pada sentimen pasaran tersebut, PropertyGuru berpendapat penetapan harga rumah yang realistik wajar diketengahkan kumpulan pemaju. Pelarasan ini wajar dilaksanakan untuk mengimbangi jumlah tawaran bersama kadar permintaan pasaran semasa. Dengan memahami corak keputusan pembeli yang ketika ini lebih berhati-hati dalam perbelanjaan, tindakan ini sekaligus akan membantu pasaran meraih penjualan yang baik pada pasaran hadapan.