Artikel

Kadar Caruman 2% KWSP Kepada Pekerja Asing – Akan Bermula Oktober Ini

Sebagaimana yang disasarkan Malaysia pada pembentangan bajet lalu – kelak bermula Oktober 2025, potongan caruman 2% bulanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja asing dan majikan akan dikuatkuasakan untuk caruman November 2025.

Perluasan caruman mandatori ini menurut KWSP akan merangkumi semua pekerja bukan warganegara yang bekerja di Malaysia. Iaitu kumpulan yang mempunyai pasport dan pas kerja yang sah yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia.

Kesepakatan ini dicapai hasil lebih 30 sesi libat urus strategik bersama pelbagai pihak berkepentingan sejak pengumuman Belanjawan 2025. Antara yang terlibat adalah Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen Malaysia, Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), pertubuhan bukan kerajaan, serta wakil-wakil daripada kumpulan majikan dan pekerja asing.

Oleh itu sebarang makluman lanjut, majikan dan semua pihak berkepentingan boleh merujuk halaman khusus di laman web KWSP dalam masa terdekat atau hubungi Pusat Perhubungan dan Nasihat Perkhidmatan KWSP di talian 03-8922 6000.