Artikel

Inflasi Malaysia Kini Mereda Kepada 1.2% – Jadi Paras Terendah Sejak Februari 2021

Indeks Harga Pengguna (IHP) yang menjadi pengukur kepada paras inflasi utama di Malaysia kini memperlihatkan aliran yang lebih rendah apabila kadar inflasi pada Mei 2025 merekodkan kadar 1.2%. Untuk pengetahuan umum, ini adalah kadar inflasi terendah dalam tempoh 51 bulan – sejak Februari 2021. 

Prestasi ini menurut Jabatan Perangkaan (DOSM) antaranya didorong hasil kenaikan kos yang lebih perlahan pada segmen Makanan dan Minuman dengan kadar 2.1%. Perkembangan itu menurut data, subkumpulan Makanan di Rumah tidak mencatatkan sebarang kenaikan sebaliknya kos yang lebih tinggi berlaku ke atas subkumpulan Makanan di Luar Rumah (4.4%).

Selain kos makanan yang dilihat lebih terkawal, kos melibatkan segmen Penjagaan Diri, Perlindungan Sosial (3.7%), Pendidikan (2.2%), Perumahan -Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api (1.7%) serta Rekreasi-Sukan (0.9%) dilihat memaparkan peningkatan lebih kecil.

Manakala taburan inflasi mengikut negeri pula memperlihatkan Johor antara negeri yang miliki paras inflasi tertinggi (1.8%), diikuti Negeri Sembilan (1.6%), Selangor (1.5%), Melaka (1.5%) dan KL (1.4%). Biarpun paras inflasi ini kekal terkawal dan tidak lebihi 2.0% namun inflasi Makanan dan Minuman terus meningkat di kesemua negeri di Malaysia.

Selain itu perbandingan mengikut negara terpilih pula secara jelas, rekod kadar inflasi ini menjadikan Malaysia antara yang terendah berbanding Indonesia (1.6%), Korea (1.9%), dan Filipina (1.3%). Penurunan ini menurut DOSM didorong hasil pelarasan harga minyak dunia yang lebih rendah.