Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran kini digesa memuktamadkan keputusan – akan cadangan untuk menutup laluan Selat Hormuz berikutan berdepan serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) pada minggu ini. Cadangan penutupan ini untuk makluman tidak sekadar menjejaskan AS semata bahkan turut memberi kesan kepada perdagangan ekonomi global iaitu pasaran minyak dunia.
Buat pengetahuan umum sekiranya cadangan ini direalisasikan maka tindakan itu akan menjejaskan sekitar 20% permintaan minyak dan gas global yang melalui kawasan tersebut. Biarpun pendekatan itu bertujuan menamatkan tekanan Barat tetapi kesannya akan melangkaui semua pasaran minyak dunia termasuklah Malaysia.
Ini kerana selaku negara yang mengamalkan dasar ekonomi terbuka iaitu bergantung kepada perdagangan dan harga komoditi semasa, Malaysia tidak terkecuali daripada berdepan kesan penutupan Selat Hormuz tersebut – antaranya kos operasi seperti logistik dan import akan lebih tinggi seterusnya membawa peningkatan kos kepada pengguna.
Tidak sekadar itu, beban tekanan subsidi yang lebih tinggi perlu ditanggung oleh negara susulan peningkatan kos semasa turut berpotensi membawa kepada pengurangan subsidi di masa hadapan.
Secara menyeluruh langkah penutupan ini dilihat tidak akan membebankan AS secara menyeluruh berikutan mereka tidak lagi menjadi sebahagian pengimport terbesar minyak dunia – namun akan memberi kesan mendalam kepada negara Asia yang bergantung kepada OPEC berhubung perolehan bekalan.