Artikel

Tahap Keyakinan Perniagaan Di Malaysia Kekal Stabil, Tatkala Alami Tekanan Kos – SME Bank 

Walaupun pasaran Malaysia dijangka lebih perlahan pada tahun ini, susulan cabaran ekonomi global – persekitaran itu ternyata tidak menjejaskan tahap keyakinan pemain ekonomi negara, yang merekodkan sentimen kalangan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) kekal stabil.

Data ini menurut tinjauan Indeks Sentimen PKS SME Bank negara menunjukkan ekonomi Malaysia akan terus alami pertumbuhan walaupun pada kadar yang lebih sederhana kepada 3.9%. Prestasi ini dijangka adalah lebih baik berbanding negara jiran yang lain seperti Thailand (3.1%) dan Singapura (3.9%).

Berdasarkan prestasi itu, 54% PMKS menjangkakan pertumbuhan ekonomi negara akan lebih baik dalam tempoh 6 bulan sehingga 12 bulan mendatang, sementara 15% kekal dengan jangkaan tidak berubah diikuti 30% pula akui pertumbuhan lebih perlahan.

Namun perlu diakui, biarpun tahap keyakinan pemain ekonomi negara kekal positif dan berdaya saing – kumpulan ini turut terdedah kepada tekanan kos operasi yang lebih tinggi akibat faktor domestik dan antarabangsa. Tekanan kos operasi ini antaranya didasari kos logistik (14%), pekerja (20%), bahan mentah (21%), utiliti (13%) dan kos sampingan (31%).

Tidak hanya itu, terdapat beberapa sektor juga menjangkakan akan berlakunya jualan lebih rendah kesan pasaran semasa ianya sektor pembaikan dan pemasangan barangan (54%), pembuatan pakaian (51%) dan pembuatan pencetakan (42%). Sebaliknya PMKS pada sektor maklumat dan komunikasi pula menjangkakan jualan yang baik (72%), pendidikan (71%) dan kesihatan (71%).

Selain itu, aliran ekonomi yang lebih perlahan secara langsung turut merendahkan kadar pengambilan pekerja – berdasarkan situasi ini 47% PMKS bertindak ingin mengekalkan jumlah pekerja sedia ada, sementara 46% pula memiliki hasrat untuk menambah jumlah pekerja dalam tempoh semasa.