Artikel

Bank Negara Mahu Wajibkan Pendidikan Literasi Kewangan – Tangani Isu Hutang Kalangan Belia

Tahun lalu jelas menunjukkan berlakunya peningkatan pada jumlah muflis kalangan orang muda. Melibatkan peningkatan kepada 877 kes belia diisytiharkan muflis pada 2024 berbanding 727 kes pada tahun 2023. Kenaikan ini secara ketara menuntut tindakan yang lebih agresif dilaksanakan bagi membendung isu bebanan hutang di Malaysia.

Data yang dikongsikan pada sidang Bank Negara Malaysia (BNM) Sasana Symposium 2025 minggu ini jelas menunjukkan tahap kesedaran penduduk negara masih ditakuk asas. Biarpun populasi belia di negara sekadar mewakili 9 juta penduduk namun jika trend ini berterusan ia berupaya menjejaskan aliran perbelanjaan di Malaysia susulan kuasa beli pengguna menjadi lebih rendah.

Sesi perkongsian BNM bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu secara jelas menunjukkan peningkatan situasi ini didorong hasil saluran pembayaran atas talian yang semakin meluas. Antaranya kesan penggunaan Beli Nanti Pakai Lekas (BNPL) yang tidak dimanfaatkan secara tepat, perihal itu sekaligus membuka ruang kadar hutang yang lebih tinggi.

Maka untuk menangani isu ini dengan lebih baik – BNM kini miliki perancangan untuk menjadikan program literasi kewangan mereka iaitu Rangkaian Pendidikan Kewangan (FEN) diwajibkan ke atas kumpulan belia.

Pelaksanaan itu akan menggalakkan belia untuk sertai dan mendaftar program tersebut. Di mana kumpulan belia tidak sekadar diberi pendedahan akan pengetahuan pengurusan aliran tunai bahkan turut meraih kemahiran kewangan bagi melaksanakan sebarang keputusan kewangan di masa hadapan.

Setakat ini BNM dalam proses penelitian bersama pihak berkepentingan dan menanti maklum-balas kementerian yang terlibat berhubung perancangan tersebut.