Artikel

TNG Digital Kini Melancarkan Akaun Perniagaan – Buat Semua Peniaga, Termasuk Tanpa SSM

Bagi meluaskan lagi akses kewangan kalangan pemain ekonomi di Malaysia. Touch n’ Go Digital hari ini secara rasminya melancarkan Akaun Perniagaan pada pasaran negara menerusi aplikasi TNG eWallet.

Apa yang menarik, akses ini tidak sekadar terbuka kepada perniagaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) semata tetapi turut diperluas kepada pemain ekonomi gig, serta kumpulan perniagaan yang tidak berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Ini bermakna tiada sebarang keperluan dokumen fizikal, bayaran mahupun baki minima ditetapkan TNG eWallet ke atas permohonan kumpulan peniaga berkaitan.

Kemudahan ini akan membantu peniaga menangani jurang ketara dalam akses kepada kemudahan kewangan digital.

Walaupun secara jelas PMKS menyumbang hampir 40% kepada KDNK negara dan menyokong hampir separuh daripada tenaga kerja di pasaran tetapi masih ramai memiliki kekangan akses untuk menguruskan akaun perniagaan mereka pada era digital ini.

Bersama penyelesaian ini ia membolehkan mereka menerima bayaran, mengurus transaksi, dan memajukan perniagaan dengan lebih cekap – semuanya hanya melalui telefon pintar.

Berbalik kepada perluasan akses akaun perniagaan ini termasuk kumpulan yang tidak berdaftar SSM – pihak TNG Digital bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menjelaskan kedua pihak akan bekerjasama rapat untuk meluaskan kesedaran akan kepentingan pendaftaran aktiviti perniagaan mereka. Bagaimanapun keutamaan ketika ini adalah meningkatkan akses kewangan di pasaran semasa.