Artikel

Menjelang 2043, Lebih Ramai Penduduk Tua – Ini Ancaman atau Peluang Buat Ekonomi Malaysia?

Ke arah tahun 2043, Malaysia dijangka akan menjadi sebuah negara tua, di mana 14% daripada populasinya akan berusia 65 tahun ke atas. Perubahan demografi ini, walaupun tidak dapat dielakkan, ia kekal menimbulkan persoalan penting adakah ia satu ancaman yang bakal memperlahankan pertumbuhan ekonomi negara, atau sebaliknya membuka peluang baharu yang belum diterokai?

Menerusi perbincangan melibatkan peningkatan populasi menua di sidang Bank Negara Malaysia (BNM) Sasana Symposium 2025 hari ini, mari bersama Rnggt untuk kita dalami kesan disebalik cabaran isu ini.

Krisis Yang Wujud Tatkala Lebih Ramai Penduduk Berusia

Tidak dapat dinafikan, apabila lebih ramai penduduk menua ia secara langsung akan membawa kesan kepada persekitaran semasa antaranya meningkatkan risiko pada aliran ekonomi, sosial negara.

Pertama, penurunan tenaga kerja. Dengan lebih ramai warga emas dan kadar kelahiran yang lebih rendah, saiz tenaga kerja produktif dijangka akan mengecil. Ini boleh membawa kepada kekurangan buruh, terutamanya dalam sektor yang memerlukan tenaga fizikal yang tinggi seterusnya menjejaskan produktiviti dan daya saing negara.

Kedua, peningkatan beban sistem penjagaan kesihatan negara. Warga tua secara semula jadi memerlukan lebih banyak perkhidmatan perubatan dan penjagaan jangka panjang. Ini akan memberi tekanan besar kepada sistem penjagaan kesihatan awam dan swasta, serta meningkatkan perbelanjaan kerajaan untuk subsidi kesihatan di Malaysia. Kos penjagaan kesihatan yang tinggi juga boleh menjadi beban kewangan kepada keluarga.

Ketiga, tekanan ke atas sistem pencen. Bersama nisbah pekerja kepada pesara yang semakin mengecil, skim persaraan sedia ada mungkin akan menghadapi cabaran kewangan. Ini boleh menjejaskan kestabilan kewangan pesara dan memerlukan reformasi sistem pencen untuk memastikan kelestarian jangka panjang.

Keempat, perubahan corak perbelanjaan dan penggunaan. Warga emas cenderung mempunyai corak perbelanjaan yang berbeza berbanding golongan muda, dengan tumpuan yang lebih kepada perkhidmatan kesihatan, riadah yang lebih tenang, dan produk yang memenuhi keperluan usia lanjut. Ini boleh menjejaskan permintaan untuk barangan dan perkhidmatan tertentu, memerlukan penyesuaian daripada perniagaan.

Peluang Ekonomi Yang Perlu Dimanfaatkan

Walaupun terdapat ancaman, dengan populasi menua ini juga sebenarnya ia membuka lembaran baharu peluang ekonomi yang boleh dimanfaatkan kepada Malaysia.

Pertama, pertumbuhan “Ekonomi Perak” (Silver Economy). Ini merujuk kepada pasaran yang berkembang pesat bagi produk dan perkhidmatan yang disasarkan kepada warga emas. Pelaburan pada arena ekonomi perak ini wajar diketengahkan bagi memenuhi keperluan penduduk yang berusia 50 tahun ke atas. Tidak sekadar menyediakan khidmat penjagaan yang baik mahupun penawaran pelancongan yang lebih mesra warga tua tetapi turut menyediakan infrastruktur ekonomi berlandas sokongan teknologi seperti robotik dan AI. Sokongan ini akan mendorong keupayaan pekerja negara untuk menyumbang kepada ekonomi dalam tempoh yang lebih lama.

Kedua, penggunaan semula pengalaman dan kemahiran warga emas menerusi dasar bekerja semula. Seperti orang muda, kumpulan warga emas turut memiliki pengalaman dan kemahiran tersendiri dalam skop bidang tertentu, perihal ini dilihat wajar dimanfaatkan untuk kembali menyumbang kepada ekonomi negara. Kerajaan dan sektor swasta dilihat boleh mewujudkan inisiatif untuk menggalakkan pekerjaan fleksibel, perundingan, atau program mentor di mana warga emas boleh berkongsi pengetahuan mereka dengan generasi muda. Ini bukan sahaja memanfaatkan kepakaran mereka tetapi juga mengurangkan tekanan ke atas bekalan tenaga kerja semasa.

Ketiga, peningkatan penjimatan dan pelaburan. Selalunya, warga emas mempunyai tahap penjimatan yang lebih tinggi dan boleh menjadi sumber modal yang penting untuk pelaburan. Institusi kewangan boleh membangunkan produk pelaburan yang disesuaikan untuk warga emas, menggalakkan mereka untuk melabur dalam ekonomi tempatan.

Keempat, manfaat teknologi pada kemudahan semasa. Cabaran kekurangan tenaga kerja boleh menjadi pemangkin kepada peningkatan pelaburan dalam automasi dan teknologi. Ini akan membawa kepada kecekapan yang lebih tinggi dalam pelbagai industri, mengurangkan pergantungan kepada tenaga kerja fizikal yang ramai dan memacu Malaysia ke arah ekonomi berteknologi tinggi.

Kelima, perkembangan industri pelancongan kesihatan dan persaraan. Dengan sistem penjagaan kesihatan yang semakin maju dan kos sara hidup yang relatif berpatutan, Malaysia berpotensi menjadi destinasi utama untuk pelancongan kesihatan dan persaraan bagi warga emas dari negara lain. Ini boleh menjana pendapatan yang signifikan melalui perkhidmatan kesihatan, penginapan, dan perbelanjaan berkaitan.

Melangkah ke Hadapan – Perkukuhkan Sistem Kesihatan, Laksana Dasar Ekonomi Sedia Ada

Pastinya untuk mengubah ancaman menjadi peluang bukanlah suatu perkara yang mudah namun Malaysia memiliki tempoh dan pilihan untuk merealisasikannya menjelang 2043, sebelum negara benar-benar merangkul status negara tua. Maka ke arah persediaan itu terdapat dua perkara ditekankan para panel pada sesi SS25 hari ini, ianya adalah mengukuhkan sistem kesihatan semasa, dasar ekonomi dan meluaskan kesedaran awam berhubung implikasi populasi menua pada arena ekonomi, sosial dan politik Malaysia.

Adanya pendidikan secara menyeluruh ini ia dapat membantu Malaysia lebih bersedia akan sebarang perubahan di masa hadapan.

Semua pihak perlu fahami, populasi menua bukanlah sekadar ancaman, tetapi ia juga satu peluang keemasan untuk Malaysia membentuk semula ekonomi negara. Melalui perancangan yang rapi, bersama maklum-balas dasar yang kukuh, Malaysia dilihat bukan sahaja mampu menguruskan cabaran demografi ini, tetapi juga dapat melonjak ekonomi secara berkala di masa hadapan.