Sebuah lembaran baharu dalam landskap kenderaan elektrik (EV) Malaysia dan ASEAN kini telah dibuka dengan pelancaran rasmi New Energy Asia. Usahasama strategik antara HICOM Engineering Sdn Bhd (HESB), anak syarikat DRB-HICOM Berhad, dan Hangzhou Flash Charging New Energy Co Ltd (HFC), anak syarikat Lotus Technology Inc., ini dilihat bersedia membawa rangkaian peralatan pengecas EV tempatan ke pasaran yang lebih luas di peringkat serantau.
Pelancaran rasmi yang disempurnakan oleh Dato’ Sri Fadillah Yusof, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air – akan perlihatkan perkongsian kepakaran industri, warisan jenama yang kukuh, dan keupayaan operasi kedua-dua pihak untuk menyampaikan penyelesaian pengecasan EV yang boleh dipercayai.

Dengan pengenalan ini, New Energy Asia akan berperanan mengedarkan peralatan pengecas EV yang dihasilkan oleh HFC. Ini termasuklah pengecas premium di bawah Lotus.
Selain pengecas berprestasi tinggi ini, barisan produk lain juga turut ditampilkan untuk kegunaan rumah dan unit komersial. Antaranya adalah pengecas AC pintar, pengecas DC sejukan-udara dan pengecas DC sejukan-cecair.
Tidak hanya peralatan pengecasan, medium ini juga akan membekalkan sistem penyimpanan tenaga canggih, menyokong permintaan yang semakin meningkat untuk penyelesaian tenaga mampan bagi unit rumah dan perniagaan.
Bersama komitmen itu, ini akan memacu rantaian EV di Malaysia dan rantau ASEAN. Di mana ia berupaya meluaskan lagi usaha penggunaan mobiliti elektrik dan teknologi pintar untuk penyelesaian pengangkutan di pasaran dan sekali gus menyumbang kepada masa depan yang lebih hijau, bersih di rantau ini.