Sekian lama terkubur matlamat Indonesia sejak tahun 1995 untuk membina tembok bagi melindungi penduduk dari ancaman bencana – kelak pelan tersebut akan direalisasikan, di mana projek Tembok Laut Gergasi bernilai $80 bilion ini akan mula dibangunkan tidak lama lagi.
Tembok yang merangkumi kawasan sepanjang 500 kilometer ini akan melibatkan pembinaan dari Banten hingga ke Gresik, Jawa Timur iaitu sepanjang pantai utara Pulau Jawa.
Seperti yang dimaklumkan, pelaksanaan projek ini bertujuan untuk lindungi komuniti pesisir dan kawasan sawah padi di pesisir utara Pulau Jawa daripada ancaman kenaikan paras laut dan banjir.
Berdasarkan perancangan, projek ini akan dilaksanakan secara berperingkat dan dimulakan dengan kawasan Teluk Jakarta.
Biarpun tidak memberi penjelasan lanjut akan tempoh sebenar projek ini dijalankan namun dijangka ia akan dimulakan pada tahun ini berikutan ia tersenarai di bawah Projek Strategik Nasional 2025. Berdasarkan sasaran itu, Indonesia menjangkakan projek ini akan mengambil masa sekitar 10 hingga 20 tahun untuk mencapai penyelesaian secara menyeluruh.