Artikel

Semua Bas, Kenderaan Berat Perlu Pasang Alat Kawalan Had Laju – Menjelang Julai 2026

Sekiranya ingin miliki akses untuk beroperasi, semua bas dan kenderaan barangan berat melebihi 3,500kg kelak perlu memasang peranti kawalan had laju (SLD) pada kenderaan mereka mulai Julai 2026.

Notis Kementerian Pengangkutan (MOT) hari ini menjelaskan keperluan itu adalah selaras dengan matlamat negara untuk mengurangkan risiko kemalangan kesan tindakan tidak bertanggungjawab kalangan segelintir pemandu kategori ini.

Mengikut makluman, bas dan lori yang didaftarkan mulai 2015 dan seterusnya mesti memasang SLD yang diluluskan oleh pihak berkuasa dan menghantar laporan setiap dua tahun, bermula Oktober 2025. Dan penguatkuasaan ini telahpun dilaksanakan untuk kenderaan baharu sejak 2015.

Tidak hanya itu untuk kenderaan yang didaftarkan sebelum Januari 2015 pula dengan SLD sedia ada mesti memastikan peranti tersebut diaktifkan dan juga menghantar laporan pematuhan. Kenderaan ini perlu mematuhi peraturan tersebut selewatnya Januari 2026.

Dengan makluman ini, diharap semua pengendali khidmat kenderaan tersebut peka akan keperluan ini dan buat pengetahuan umum, MOT turut memaklumkan had laju untuk kenderaan berat akan diseragamkan pada 90km/j, biarpun had laju di lebuh raya ditetapkan 110km/j. Perihal ini bagi memastikan segala risiko dilandaikan dengan lebih baik demi kesejahteraan semua pengguna jalan raya yang lain.