Artikel

400,000 Peminjam PTPTN Direkodkan – Tidak Pernah Lakukan Pembayaran Semula Pinjaman

Jumlah kumpulan peminjam yang tidak pernah melunaskan pinjaman bersama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kini dilihat semakin meningkat – melibatkan seramai 400,000 peminjam.

Makluman ini menurut Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) membawa kepada bebanan tanggungan RM5 bilion, susulan kumpulan tersebut tidak melunaskan tanggungjawab pinjaman mereka.

Lebih membimbangkan kumpulan ini ratanya membabitkan kumpulan pelajar yang sudah menamatkan pengajian mereka sejak 10 tahun lalu.

Memahami persekitaran ekonomi semasa dengan tekanan kos sara hidup, KPT bersama PTPTN kini terus meluaskan kesedaran kepada semua peminjam untuk melunaskan pinjaman mereka menerusi inisiatif pembayaran fleksibel. Pendekatan ini telahpun diterapkan di bawah PTPTN, di mana ansuran bulanan boleh disemak kembali mengikut kemampuan para peminjam.

Berdasarkan usaha itu, diminta semua peminjam yang terlibat hubungi PTPTN untuk menyemak kembali kaedah pembayaran yang lebih baik. Usaha ini tidak sekadar memenuhi tanggungjawab tetapi turut memudahkan urusan kumpulan pelajar baharu yang kelak akan meraih faedah pinjaman disebalik pembayaran semula kumpulan peminjam terdahulu.