Artikel

Kadar Pengangguran Di Malaysia Kini 3% – Terus Menurun, Jadi Kadar Terendah Dalam 10 Tahun  

Selari dengan peningkatan prestasi ekonomi Malaysia yang diimbangi bersama kemasukan pelaburan asing – aliran kadar pengangguran di Malaysia dilihat semakin menurun dengan mencapai 3.0% pada April lalu. Rekod ini sekaligus menjadikan ia kadar terendah dalam tempoh 10 tahun, sejak 2015. 

Tinjauan di bawah Jabatan Perangkaan (DOSM) ini memperincikan kedudukan itu turut disokong hasil pertumbuhan yang stabil serta peningkatan bilangan pendudukan bekerja di Malaysia yang kini dicatatkan kepada 16.82 juta individu.

Mengikut taburan pekerjaan di Malaysia itu, didapati seramai 12.6 juta adalah berstatus pekerja (75.1%), diikuti 3.16 juta pula bekerja sendiri (18.8%), seramai 465,900 individu pula pekerja keluarga tanpa gaji (2.8%) dan 554,400 pula berstatus majikan (3.3%).

Dengan kerancakan aliran ekonomi ini, DOSM meramalkan aliran tenaga buruh di pasaran akan terus berkembang pada tahun ini. Selain prestasi ekonomi, sokongan pada dasar semasa yang kukuh diikuti permintaan domestik yang stabil juga turut membantu Malaysia menambahbaik kualiti ekonomi negara.