Suku pertama tahun 2025 memperlihatkan kadar harga sewa rumah di Malaysia mengalami peningkatan – dengan secara puratanya 5.2% lebih tinggi kepada RM2,020 berbanding suku yang sama pada tahun 2024.
Data di bawah Juwai IQI iaitu Indeks Sewa Rumah Malaysia Suku Pertama 2025 ini turut memperincikan berdasar taburan negeri dan Wilayah Persekutuan didapati Kuala Lumpur muncul selaku bandar yang mencatatkan purata sewa tertinggi dengan meningkat 1.9% kepada RM2,901 sebulan. Angka ini secara jelas melangkaui paras purata nasional RM2,020.
Kenaikan itu menurut tinjauan didorong hasil lokasinya selaku hab ekonomi disusuli kemasukan pelaburan asing pada landskap pembandaran menjadikan ia lebih mahal berbanding lokaliti yang lain. Berbeza pula di Selangor yang direkodkan alami penurunan purata kadar sewa sebanyak 0.9% kepada RM1,822 sebulan.
Secara menyeluruh biarpun paras di peringkat nasional diperhatikan terus meningkatkan, purata ini untuk makluman sebenarnya alami penurunan berdasarkan rekod perbandingan suku keempat 2024. Di mana pada tempoh tersebut, purata sewa rumah di Malaysia adalah sekitar RM2,052 sebulan. Berlandaskan data itu, secara sukuan kedudukan ini menunjukkan tekanan kos rakyat Malaysia sedikit menurun berbanding tahun lalu.