Berikutan isu notis perlu menamatkan operasi seru-pandu pada bulan hadapan. Maxim, syarikat seru-pandu di Malaysia kini menjelaskan perkhidmatannya masih beroperasi seperti biasa tatkala menanti keputusan rayuan bersama pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT).
Jelas Maxim pada sidang media hari ini, permohonan dan segala tindakan penambahbaikan operasi telahpun dilaksana bersama pihak APAD. Biarpun mereka tidak memiliki garis masa yang sebenar berhubung tempoh keputusan rayuan itu dikeluarkan – Maxim optimis keputusan itu akan diperolehi sebelum tempoh arahan penamatan operasi dikuatkuasakan, iaitu sebelum 24 Julai ini.
Setakat ini, pihaknya memberi jaminan segala langkah operasi adalah bertepatan dengan kriteria di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 atau Akta 715 yang diwajibkan oleh APAD. Ini bermakna, rakan pemandu Maxim mematuhi segala keperluan yang ditetapkan APAD dan MOT.