Bagi memacu kembali aliran ekonomi negara di masa hadapan, China mewajibkan hospital bersalin di negara mereka untuk menyediakan khidmat bius epidural semasa bersalin menjelang akhir 2025 ini.
Langkah ini adalah tindak balas untuk meningkatkan semula kadar kelahiran di negara ekonomi kedua terbesar dunia itu. Buat pengetahuan umum, ketika ini populasi China berdepan penurunan bagi tahun ketiga berturutan sehingga tahun 2024.
Berdasarkan penguatkuasaan itu, usaha ini turut membantu mewujudkan persekitaran kelahiran yang lebih baik dalam mengurangkan kadar kesakitan buat kumpulan wanita. Untuk fasa awal, menurut Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan (NHC) China – pelaksanaan ini akan diwajibkan ke atas hospital bersalin tertiari iaitu yang miliki lebih 500 katil bagi penyediaan khidmat epidural tahun ini.
Selanjutnya diteruskan untuk hospital sekunder yang miliki lebih 100 katil bagi memenuhi akses tersebut selewatnya pada tahun 2027. Secara menyeluruh, ketika ini hanya 30% wanita hamil di China menggunakan bius epidural semasa proses bersalin. Kadar ini dilihat lebih rendah berbanding lebih 70% di sebilangan negara maju yang lain.