Artikel

Majikan Wajib Lunas Duti Setem Kontrak Penggajian Mulai 1 Januari 2026 – LHDN

Sebagaimana yang digariskan Belanjawan 2025, dimaklumkan Sistem Taksir Sendiri Duti Setem (STSDS) akan dijalankan secara berperingkat kelak. Di mana setiap majikan wajib melunaskan duti setem kontrak penggajian bermula 1 Januari 2026 ini.

Selari dengan pelaksanaan sistem tersebut, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memaklumkan sebuah rangka kerja Audit Duti Setem (RKADS) telah diperkenalkan – yang mana audit ini mendapati masih ramai kumpulan majikan gagal untuk menyetem dokumen kontrak penggajian yang diarahkan – iaitu setiap kontrak penggajian wajib dikenakan duti setem sebanyak RM10.

Berdasarkan situasi itu, kerajaan kini bersetuju memberi pengecualian duti setem ke atas kontrak penggajian yang dimuktamadkan sebelum 1 Januari 2025.

Namun bagi kontrak penggajian yang dimuktamadkan pada 1 Januari 2025 sehingga 31 Disember 2025 pula dimaklumkan harus melunaskan duti setem sebelum atau pada 31 Disember 2025 ini. Ini bermakna tiada sebarang penalti dikenakan sekiranya lewat melunaskan duti setem kontrak penggajian tersebut pada tempoh itu.

Dengan makluman ini, semua majikan diminta peka kerana setelah bermulanya tempoh wajib menyetem dokumen penggajian pada 1 Januari 2026 kelak – ia menjelaskan sebarang kelewatan duti setem dikenalpasti, majikan akan dikenakan denda sewajarnya selaras Akta Setem 1949.