Artikel

AirAsia MOVE Nafi Manipulasi Tambang – Berikutan Isu Harga Tiket Mahal Di Filipina

AirAsia MOVE kini memaklumkan komitment pihaknya untuk bekerjasama dengan pentadbiran Filipina bagi menambahbaik perlindungan pengguna melibatkan penawaran tiket penerbangan di pasaran tersebut. Jelas operasi, tiada sebarang tindakan campur tangan secara manual mahupun tindakan manipulasi tiket penerbangan di platform dilaksanakan.

Ini kerana selain tindakan itu bertentangan dengan prinsip asas syarikat iaitu menyediakan tambang yang berpatutan, segala pemaparan tambang yang dilaksanakan sebelum ini adalah diperolehi daripada sistem pihak ketiga dan ia bukan ditetapkan oleh Agensi Pelancongan Dalam Talian (OTA) seperti AirAsia MOVE. 

Perkara ini menurut Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia MOVE Nadia Omer, segala pendekatan penetapan harga tambang di MOVE adalah dilaksanakan secara automatik. 

Buat pengetahuan umum, sistem pihak ketiga terlibat secara langsung dengan pelbagai syarikat penerbangan untuk menjual tiket penerbangan mereka. OTA bekerjasama dengan sistem pihak ketiga ini sebagai unit pemasaran atau platform. Oleh itu, OTA dijelaskan tidak mempunyai keupayaan untuk mengubah harga secara manual yang diterima daripada pembekal ini atau rakan kongsi syarikat penerbangan berkaitan. 

Menerusi penjelasan itu, AirAsia MOVE memaklumkan pihaknya telah menyalurkan segala maklumat lengkap berkaitan isu berbangkit bersama Civil Aeronautics Board (CAB) pada minggu lalu dan bersedia laksana kerjasama dengan lebih terperinci bersama pihak berkuasa Filipina.