Artikel

China Lancar Visa ASEAN – Mudahkan Perjalanan Komuniti Perniagaan Negara Serantau, Termasuk Malaysia

Dalam usaha meningkatkan lagi urusan perjalanan perniagaan antara China bersama negara serantau – China kini melancarkan visa ASEAN baharu bagi melonjakkan aliran aktiviti ekonomi di pasaran semasa.

Jadi Apa Itu Visa ASEAN?

Visa ASEAN dijelaskan adalah visa pelbagai kemasukan yang memiliki tempoh sah selama 5 tahun. Ini bermakna dengan visa ini, pengguna untuk tujuan perniagaan dibenarkan memasuki China berulang kali dalam tempoh 5 tahun tersebut. Dan setiap kali individu memasuki China dengan visa ini adalah dibenarkan untuk menetap sehingga 180 hari, sekitar 6 bulan! Akses itu sekaligus memudahkan kumpulan pekerja khususnya menyelesaikan urusan mereka untuk tinggak dengan lebih lama di China.

Negara Mana Yang Meraih Akses Visa ASEAN Ini?

Berdasarkan pelancaran China pada minggu ini, akses visa ASEAN ini hanya tertakluk kepada 10 negara anggota ASEAN sahaja dan kepada negara Timor-Leste sebagai negara tambahan yang menggalas peranan selaku pemerhati ASEAN. Ini senarai 10 negara lain terlibat:

  • Malaysia
  • Brunei
  • Kemboja
  • Indonesia
  • Laos
  • Myanmar
  • Filipina
  • Singapura
  • Thailand
  • Vietnam

Akses Ini Perkukuh Kerjasama Ekonomi China dan Pasaran Serantau

Adanya akses ini ia tidak memberi kelebihan kepada China dalam mengukuhkan kerjasama ekonomi mereka bersama negara serantau tetapi turut meningkatkan kekuatan ekonomi ASEAN di pasaran global. Antaranya dengan akses ini urusan perniagaan akan lebih mudah dan memberi penjimatan kos serta masa buat kumpulan perniagaan. Lebih menarik ia turut membuka peluang dan ruang buat pemain ekonomi meneliti potensi pelaburan dan perluasan perdagangan di masa hadapan.

Secara mudahnya akses visa ASEAN ini adalah suatu langkah strategik yang menarik untuk komuniti perniagaan di seluruh Asia Tenggara bagi memajukan lagi pertumbuhan ekonomi serantau secara bersama.

Selain akses ini, umum ketahui terdapat beberapa negara telahpun meraih pengecualian visa bersama China antaranya Malaysia, Thailand dan Singapura pada kemasukan segmen pelancongan.