Kuala Lumpur hari ini menandakan satu mercu tanda penting dengan pelancaran rasmi 100 hari menuju ke pelaksanaan Smart City Kuala Lumpur 2025 (SCEKL25) pada September ini. Ekspo ini untuk makluman akan menjadi edisi yang pertama dilaksanakan di pasaran Asia Tenggara.
Maka ke arah persediaan itu, Menteri Digital Gobind Singh memaklumkan ketika ini sebilangan bandar di Malaysia telah memperlihatkan inisiatif menerapkan sokongan pintar untuk kemudahan awam. Antara negeri yang menerapkan inisiatif Bandar Pintar ketika ini adalah Johor, Selangor, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Sarawak.
Penerapan inisiatif bandar pintar ini dilihat selaras dengan usaha negara untuk memiliki sekurangnya 5 bandar pintar sebagaimana yang disasarkan pada RMK12 untuk tahun 2025.
Usaha tersebut dijangka dapat diperluaskan lagi ke atas semua negeri di Malaysia susulan aliran kemasukan pelaburan digital dilihat semakin membrangsangkan. Untuk tahun 2024 sahaja sejumlah RM163.6 bilion pelaburan digital direkodkan Malaysia.
Adanya sokongan pembangunan digital ia berupaya merealisasikan empat objektif SCEKL25 ini, yang meliputi pewujudan bandar AI, bandar lestari, keusahawanan digital dan pemerkasaan komuniti bersama penyelesaian digital. Dengan matlamat itu, ia juga akan membantu negara mencapai statu Negara Pintar menjelang 2040 yang digariskan pada Rancangan Fizikal Negara Keempat (RFN4).
Secara menyeluruh ekspo ini dilaksanakan pada 17 September sehingga 19 September 2025 kelak dengan bertemakan Bandar AI, Membentuk Arena Digital Masa Hadapan. Di mana ekspo anjuran Perbadanan Ekonomi Digital (MDEC) bersama Digital Nasional Berhad (DNB) ini menjangkakan sejumlah 10,000 pengunjung bersama lebih 2,000 delegasi hadir memeriahkan dan berkongsi kepakaran pintar bersama pasaran Malaysia.