Bermula 1 Mei 2025 lalu, pelaksanaan penggunaan tong LPG 14kg berwarna ungu khusus untuk kegunaan komersial dan industri telahpun dikuat kuasakan di pasaran semasa. Inisiatif ini untuk makluman adalah sebahagian daripada usaha pentadbiran negara untuk menstrukturkan semula aliran subsidi.
Akan tetapi kesan tindakan itu, ia telah menimbulkan pelbagai reaksi terutamanya kalangan peniaga kecil dan sederhana (PKS) akan tekanan kos operasi yang perlu diimbangi mereka. Berikutan memahami kegusaran yang berlaku ketika ini, ayuh kita teliti apa kegunaan sebenar ‘tong gas ungu’ ini pada pasaran semasa.
Apa Itu Tong Gas Ungu?
Tong gas ungu adalah silinder Gas Petroleum Cecair (LPG) seberat 14kg iaitu tong gas tidak bersubsidi yang diperkenalkan oleh Petronas di bawah Program Pengurusan Subsidi Bersasar dan untuk makluman umum penawaran ini turut diperkenalkan oleh pembekal gas yang lain tidak hanya Petronas semata. Pengenalan tong gas ini dikhaskan untuk kegunaan komersial dan industri, seperti restoran, hotel, kantin, kedai makan, dan katering termasuklah kilang makanan. Erti kata mudah, ia khas untuk mana-mana entiti perniaga yang menggunakan LPG pada operasi mereka terutama operasi yang berskala besar dan melebihi had penggunaan yang ditetapkan untuk gas bersubsidi.
Jadi Selain Perniagaan Berskala Besar – Adakah Peniaga Kecil Turut Terkesan?
Pemain perniagaan perlu fahami, setiap peraturan melibatkan inisiatif subsidi pastinya memiliki had tertentu. Pada penggunaan tong gas bersubsidi – Kementerian Perdagangan dan Kos Sara Hidup (KPDN) menjelaskan bahawa mana-mana peniaga kecil yang menggunakan 3 tong gas 14kg atau kurang (iaitu tidak lebihi 42kg) dalam satu masa maka kumpulan ini DIBENARKAN untuk menggunakan tong gas bersubsidi yang berwarna hijau mahupun merah pada operasi mereka.
Namun jika peniaga berkaitan menggunakan gas melebihi 42kg dalam satu masa (lebih 3 tong LPG 14kg) maka kumpulan peniaga ini WAJIB untuk menggunakan tong gas tidak bersubsidi dan perlu memohon permit khas iaitu Permit Barang Kawalan Berjadual bersama KPDN.
Tindakan ini bertujuan untuk mengelakkan berlaku ketirisan subsidi dan memastikan golongan pengguna yang benar-benar memerlukan sahaja menerima manfaat subsidi tersebut. Buat pengetahuan umum, Malaysia telah menelan perbelanjaan sekitarRM3.4 bilion subsidi LPG pada tahun 2024. Oleh itu, dengan pelarasan penggunaan ini, ia akan membantu negara lebih memahami akan tindakan agihan penggunaan kepada pemain ekonomi.

Cabaran Disebalik Pengenalan Tong Gas Tidak Bersubsidi Ini
Isu ini secara jelas telah membangkitkan kekeliruan ke atas kumpulan peniaga akan pelaksanaannya. Dan lebih membimbangkan perihal ini berpotensi membawa kepada kenaikan kos operasi dan harga barangan serta perkhidmatan. Buat pengetahuan umum, harga tong gas tidak bersubsidi ini adalah jauh lebih tinggi, sekitar RM60 hingga RM70 berbanding RM26.60 untuk tong gas subsidi 14kg. Lonjakan kos hampir 3 kali ganda ini secara jelas memberi bebanan tambahan kepada kumpulan peniaga.
Lebih membimbangkan adalah sekiranya terdapat pihak yang memanipulasi akan tuntutan penggunaan tong gas tidak bersubsidi ini sedangkan mereka tidak mematuhi peraturan demikian namun pihak ini mengambil kesempatan meningkatkan kos makanan ke atas pengguna susulan harga penggunaan gas berdepan peningkatan.
Menyentuh soal kos produk, kenaikan harga ini pastinya tidak sekadar tertakluk kepada makanan semata bahkan turut melibatkan perniagaan seperti dobi dan industri kecil yang turut menggunakan LPG. Situasi ini sekaligus mewujudkan kesan berantai pada kenaikan harga di pasaran hadapan.
Biarpun pengenalan tong gas ini adalah untuk memastikan penjimatan subsidi diagihkan dengan tepat buat kumpulan pengguna bersasar namun kesan disebaliknya turut akan impak kepada aliran kos sara hidup dan kelangsungan sebilangan perniagaan. Bagi memastikan perkara tidak menjadi tunggangan dan bebanan kepada pengguna pasaran – pentadbiran wajar melaksanakan pemerhatian berkala bersama langkah lanjutan untuk memastikan usaha ini menjadi objektif keseluruhan tanpa meningkatkan kos pengguna yang lain.