Artikel

AirAsia MOVE Berdepan Dakwaan Caj Tiket Mahal Di Filipina

Jabatan Pengangkutan (DOT) Filipina kini sedang menyediakan kes sabotaj ekonomi terhadap platform ejen pelancongan dalam talian kumpulan penerbangan AirAsia Move kerana didakwa menjual tiket kapal terbang ke Tacloban pada harga yang “tidak masuk akal” pada nilai yang tinggi.

Dalam taklimat media hari ini, Setiausaha Pengangkutan Vince Dizon memperincikan pihaknya sedang memuktamadkan aduan terhadap AirAsia Move dengan sasaran untuk memfailkan kes tersebut pada minggu ini.

Sebelum ini, agensi kerajaan itu telahpun mengeluarkan perintah henti dan larang terhadap AirAsia Move untuk beroperasi di pasaran mereka pada 26 Mei lalu.

Perihal ini bermula susulan pihak pengangkutan menerima aduan menunjukkan AirAsia Move mengenakan caj 77,000 peso (AS$1,380 atau RM5,874) untuk tiket sehala dari Manila ke Tacloban City melalui Philippine Airlines, angka ini tiga kali ganda harga yang disebut semasa membuat tempahan terus di laman web syarikat penerbangan itu.

Namun sebagai tindak balas, AirAsia menjelaskan percanggahan yang berlaku dalam paparan tambang untuk laluan tertentu, termasuk penerbangan domestik yang dikendalikan oleh Philippine Airlines, adalah disebabkan oleh isu penyegerakan data sementara dengan rakan harga penerbangan lain.

Percanggahan teknikal yang disebabkan oleh penyedia pihak ketiga ini tidak sekadar menjejaskan MOVE sahaja tetapi turut memberi kesan kepada platform tempahan lain di seluruh industri, termasuk Agoda, Kiwi.com, dan Traveloka.

Malah pihak AirAsia telahpun mengambil langkah pantas bersama pihak terlibat untuk menangani isu pemaparan harga tiket tersebut. Susulan itu, kini AirAsia terbuka laksana perbincangan proaktif bersama pihak berkuasa Filipina untuk memastikan isu tersebut tidak menjejaskan operasi khususnya demi menjaga kepentingan semua penumpang yang menempah melalui platform tersebut.