Artikel

Dulu 63.3% Kini 49.8%: Pengeluaran Tunai ATM Di Malaysia Semakin Menurun – Laporan

Dahulu, urusan pembayaran di Malaysia banyak bergantung kepada wang tunai. Kini, arus digitalisasi mengubah landskap kewangan dengan pantas. Syarikat data dan analitik semasa, GlobalData, meramalkan nilai pasaran kad pembayaran di Malaysia, termasuk urus niaga di kedai (POS) akan terus alami lonjakan.

Pasaran Kad Pembayaran Terus Tinggi, Tatkala Pengeluaran Tunai ATM Kian Menurun

GlobalData menjangkakan nilai pasaran ini akan mencapai RM814.1 bilion pada 2025, dengan pertumbuhan empat peratus. Laporan Analitik Kad Pembayaran GlobalData mendedahkan bahawa nilai transaksi kad pembayaran di Malaysia menunjukkan pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) yang mengagumkan, iaitu lapan peratus antara 2020 hingga 2024, mencatatkan angka RM783 bilion pada 2024.

Menariknya, penggunaan kad untuk mengeluarkan tunai di ATM semakin menurun. Jumlah pengeluaran ATM hanya mencatatkan CAGR rendah, 1.1 peratus dalam tempoh yang sama. Ini menunjukkan pergeseran ketara dalam cara kita menguruskan wang. Penganalisis yakin landskap kad pembayaran di Malaysia akan terus berkembang stabil dalam lima tahun akan datang.

Nirtunai Jadi Pilihan Pengguna, Pacu Ekonomi Digital Malaysia

Pertumbuhan ini disokong oleh peningkatan penggunaan kad pembayaran seiring dengan perubahan digital yang lebih meluas. Inisiatif kerajaan, minat pengguna yang semakin tinggi terhadap pembayaran digital, dan pembangunan infrastruktur penerimaan kad dijangka akan terus memacu pertumbuhan ini. Malah, nilai kad pembayaran diramal akan berkembang pada kadar CAGR 4.5 peratus antara 2025 hingga 2029, mencapai RM969.9 bilion pada 2029.

Menurut penganalisis GlobalData, Shivani terdapat kemajuan besar dalam penggunaan pembayaran berasaskan kad, dengan CAGR 20.4 peratus dari segi jumlah transaksi antara 2020 hingga 2024. Ini didorong oleh inisiatif inklusi kewangan kerajaan seperti penetapan had yuran pertukaran, pemberian lesen kepada bank digital sepenuhnya, dan penambahbaikan infrastruktur pembayaran.

Pembayaran kad di terminal POS juga semakin popular, dengan bahagiannya dianggarkan mencecah 50.2 peratus tahun ini. Ini didorong oleh kesedaran pengguna yang meningkat, perluasan penggunaan terminal POS, dan pengenalan kad debit nirtunai oleh bank. Pembayaran nirtunai yang semakin popular ini secara beransur-ansur menggantikan wang tunai untuk transaksi harian.

Tunai Masih Relevan, Tapi Pangsanya Menurun

Biarpun pembayaran nirtunai semakin berkembang, penggunaan wang tunai di Malaysia masih lagi tinggi digunakan di Malaysia. Ini disebabkan oleh keutamaan budaya serta persepsi kemudahan dan keselamatan yang ditawarkannya.

Akan tetapi harus diakui penggunaan kian menurun dengan bahagian pengeluaran tunai di ATM kini mewakili 49.8% di mana jauh lebih rendah berbanding 63.3% yang direkodkan pada 2021.

Secara menyeluruh perubahan ini jelas menunjukkan bahawa generasi baharu semakin selesa menerapkan kemudahan digital pada transaksi harian mereka dan secara langsung menuntut kumpulan berusia laksana perihal yang sama bagi memacu pertumbuhan Malaysia di masa hadapan.