Artikel

Visa Terus Perkukuh Fleksibiliti Pembayaran Di Asia Pasifik – Antaranya Tertumpu Pada Penyelesaian Identiti Digital

Selain Visa Intelligent Commerce, terdapat beberapa lagi penyelesaian yang digariskan Visa pada acara Asia Pacific Media Showcase 2025 minggu ini dan antara tumpuan Visa adalah meluaskan lagi akses fleksibiliti pada ekosistem pembayaran dengan penyelesaian Identiti Digital.

Produk inovatif ini untuk makluman membolehkan pengguna meraih pengalaman pembayaran yang lebih lancar dan selamat tanpa perlu bimbang akan kecurian kata laluan mahupun berdepan proses pengesahan pembayaran yang rumit. Perihal ini susulan disokong pendekatan ciri Passkey dan Tap to Confirm. Menerusi Passkey ia akan membolehkan pengguna laksnaka pengesahan identiti melalui biometrik seperti cap jari atau pengecaman muka atau PIN peranti, menjadikan proses log masuk dan pengesahan transaksi lebih pantas dan selamat. Ini menghapuskan kerumitan mengingati kata laluan yang kompleks dan mengurangkan risiko kecurian akaun.

Sementara pendekatan Tap to Confirm pula mengurangkan langkah-langkah yang tidak perlu dalam mempercepatkan proses pembayaran khususnya transaksi secara digital.

Tidak hanya itu, melalui pendekatan perkongsian data yang dipertingkatkan seperti Visa Data Only dengan Visa Intelligent Data Exchange (IDX) juga turut akan membantu menyediakan penerbit kad (issuers) dengan lebih banyak titik data dalam membuat keputusan yang lebih baik.

Dan berdasarkan perincian penyelesaian itu, Visa pada acara tersebut turut berkongsikan terdapat beberapa perkongsian strategik baharu yang telah dicapai bersama pemain ekonomi di Asia Pasifik dan antaranya yang meneroka penerapan ciri ini di Malaysia adalah institusi perbankan Maybank.

Visa meilhat dengan perkongsian tersebut, kerjasama ini akan membolehkan pengguna Maybank menikmati tahap keselamatan dan akses yang lebih baik pada setiap transaksi digital mereka. Selain Maybank, rantaian pasar raya Australia iaitu Coles turut menjadi antara rakan perkongsian strategik baharu di Asia Pasifik yang diumumkan oleh Visa pada pendekatan identiti digital ini.

Dengan tumpuan penyelesaian identiti digital ini ia secara kolektifnya membantu pengguna dan pemain ekonomi mengurangkan penipuan dan meningkatkan kadar kebenaran transaksi di seluruh ekosistem pembayaran pada pasaran semasa.