Artikel

Pemetaan Sempadan Putrajaya, Selangor Akan Dimuktamadkan – Akhir 2025 Ini

Bagi menamatkan kebangkitan isu dan cabaran pada pengurusan pentadbiran, proses persempadanan antara Putrajaya dan Selangor dimaklumkan akan diselesaikan menjelang akhir 2025 ini. 

Jelas Menteri Besar Selangor – ketika ini proses berkaitan sempadan di Putrajaya yang melibatkan kawasan seperti Sepang dan Kuala Langat dimaklumkan telahpun selesai. Biarpun begitu berbeza dengan proses persempadanan antara Selangor dan Kuala Lumpur, yang dimaklumkan akan mengambil sedikit masa susulan prosesnya dilihat lebih rumit. Ia antaranya melibatkan kawasan seperti Ampang, Petaling Jaya dan Subang.

Buat pengetahuan umum, langkah proses persempadanan ini bertujuan untuk memastikan sistem pengurusan sumber dan perkhidmatan di Wilayah Persekutuan (WP) serta negeri menjadi lebih teratur tanpa pencanggahan peranan. Ini kerana sebagai contoh sistem pengurusan air antara Selangor dan Putrajaya meskipun miliki batasan peranan sendiri namun sebahagian pengurusannya kekal dikendalikan Selangor. Situasi yang sama turut didepani bersama Kuala Lumpur.

Tidak hanya faktor pengurusan tersebut tetapi aspek melibatkan keselamatan, kesihatan dan pembangunan sosial turut menjadi tumpuan Selangor, Putrajaya dan KL. Isu sempadan ini secara langsung memerlukan perbincangan secara bersama ke atas ketiga kawasan susulan sebahagian ekosistemnya berkongsi antara satu sama lain.