Artikel

Malaysia Terajui Deklarasi Kuala Lumpur 2045 – Perkasa Hala Tuju Dua Dekad ASEAN

Malaysia kini secara rasminya menerajui Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045 bersama rakan serantau. Menerusi penerimaan deklarasi ini ia menjadi satu dokumen penting untuk merangka hala tuju ASEAN dalam tempoh dua dekad yang lebih berdaya tahan, inovatif dan berpaksikan rakyat negara.

Jelas Perdana Menteri Anwar Ibrahim, deklarasi ini merangkumi 4 tumpuan utama iaitu politik-keselamatan, ekonomi, sosio-budaya dan keterhubungan. Ia akan menekankan pertumbuhan adil, penyertaan yang terangkum serta kesiapsiagaan negara dalam tempoh dua dekad menghadapi cabaran masa depan seperti perubahan iklim, kemajuan teknologi dan tekanan geopolitik.

Secara menyeluruh, menerusi penerimaan deklarasi ini ia sekaligus menggantikan Visi Komuniti ASEAN 2025 yang diperkenalkan Malaysia ketika mempengerusikan ASEAN pada 2015 lalu – yang turut mengutamakan kerjasama berpaksi tiga tumpuan iaitu politik-keselamatan, ekonomi dan sosio-budaya.