Bagi mengelakkan tindakan penipuan dan isu eksploitasi ke atas durian tempatan berlaku – Pulau Pinang bersama MIMOS akan melaksanakan teknologi Track and Trace iaitu medium pintar yang membolehkan pemantauan menyeluruh ke atas hasil durian keluaran Pulau Pinang bermula 1 Jun ini.
Adanya sokongan ini, ia sekaligus akan melindungi pengusaha durian negeri berikutan ramai peniaga membuat perakuan akan jualan durian mereka adalah hasil dari Pulau Pinang. Situasi ini secara langsung telah mengenepikan hak pengusaha negeri di samping ada diantara perakuan tersebut adalah tidak benar.
Ini termasuklah ada diantara bekalan durian Thailand turut dimaklumkan adalah hasil dari Pulau Pinang.
Buat pengetahuan umum, Pulau Pinang ketika ini memliki lebih 30 variasi durian antaranya Dato Nina (D2), Lipan Bara, Ikan Emas, Kulit Hijau (D165), Tekka (D160), Labu (D163), Lipan, Kunyit, Ang Bak Kia, Khoon Poh (D164), Ais Krim, Lin Feng Jiao, Muntri (D14) dan Yi Dian Hong.
Maka dengan pelaksanaan sistem tersebut, pentadbiran negeri optimis langkah ini tidak sekadar mengukuhkan industri durian negeri tetapi turut melindungi kepentingan pengusaha tempatan. Selain MIMOS, pelaksanaan sistem ini turut melibatkan usahasama pelancongan negeri, FAMA, MAQIS dan KPDN Pulau Pinang.