Artikel

Sarawak Jangka Selesai Ambil Alih MASwings – Akhir Disember Ini

Menjelang 31 Disember ini, Sarawak dijangka akan menyelesaikan proses pengambilalihan MASwings di pasaran semasa.

Tindakan ini akan menjadi titik penting buat kerajaan negeri dalam mengukuhkan kedudukan mereka di arena udara khususnya menerusi syarikat penerbangan negeri, AirBorneo.

Jelas Sarawak, jangkaan ini dicapai susulan pemeteraian perjanjian jual beli (SPA) antara AirBorneo Holdings Sdn Bhd dan Malaysia Aviation Group (MAG) pada Februari lalu, kedua-dua pihak kini sedang giat berusaha untuk memenuhi syarat-syarat terdahulu sebelum urus niaga ini dapat diselesaikan sepenuhnya.

Antaranya termasuklah meraih kelulusan kawal selia daripada pihak berkuasa penerbangan utama seperti Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Tidak sekadar itu biarpun peralihan pimpinan berlaku, Sarawak memberi jaminan bahawa semua petugas MASwings akan dikekalkan dan segala pemindahan aset MAG ke AirBorneo dimaklumkan akan diselesaikan dengan lancar tanpa menjejaskan sebarang pihak.