Artikel

Kadar Kenaikan Gaji Permulaan Graduan Di Malaysia Didapati Perlahan – Sejak 1997

Adanya pendidikan tinggi, sudah pasti anak muda akan memiliki tanggapan bahawa gaji permulaan yang diraih mereka akan lebih ‘selesa’ berbanding kumpulan pendidikan lain – tetapi sebaliknya berlaku apabila didapati jurang gaji permulaan antara lulusan ijazah dan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) disemak semakin mengecil dengan hanya 1.7 kali lebih tinggi pada 2022 berbanding 2.7 kali pada 1997.

Tinjauan di bawah Trend Gaji Permulaan di Malaysia: Pada Sudut Pekerjaan Swasta (1997-2022) PNB Research Institute ini jelas menunjukkan pertumbuhan gaji permulaan lulusan pendidikan telah alami penurunan selaras dengan tekanan inflasi untuk tempoh 25 tahun tersebut.

Berdasarkan perincian laporan, kumpulan pemegang ijazah sarjana menjadi kumpulan gaji permulaan median yang paling tinggi kemerosotannya sekitar 28%, diikuti lulusan ijazah sarjana muda pula menurun 10%.

Melihat pada kadar itu, ini bermakna graduan lulusan ijazah sarjana yang mula bekerja pada 2022 meraih gaji hampir satu pertiga kurang berbanding rakan sejawat mereka pada 1997.

Persekitaran ini berbeza dengan penawaran gaji permulaan ke atas lepasan SPM dan PMR. Di mana gaji permulaan media untuk tenaga kerja lepasan PMR telah meningkat sebanyak 89% manakala SPM pula meningkat 44%. Data ini menjelaskan lepasan PMR yang memasuki sektor swasta buat pertama kali pada 2022 telah meraih gaji hampir dua kali ganda tinggi berbanding rakan sejawat mereka pada 1997.

Secara menyeluruh, pertumbuhan gaji bagi graduan lulusan tinggi diperhatikan semakin perlahan. Kedudukan ini secara langsung tidak sekadar memberi kesan kepada skop pendidikan negara bahkan turut memberi tekanan kepada ekonomi Malaysia di masa hadapan, yang memiliki matlamat menjadi negara berpendapatan tinggi seawal 2027 kelak.