Artikel

Prasarana Optimis Penggunaan Pengangkutan Awam Di Malaysia Capai 40% – Menjelang 2030

Prasarana Malaysia kini optimis kadar penggunaan pengangkutan awam di Malaysia berupaya mencapai 40% menjelang 2030.

Keyakinan ini selaras dengan perancangan negara untuk meningkatkan jumlah pengguna pengangkutan awam daripada sekitar 1.3 juta pada tahun ini kepada 1.5 juta pada tahun 2026.

Matlamat ini menurut Prasarana akan disokong dengan penambahan laluan Transit Aliran Ringan (LRT) 3 Shah Alam yang dijangka mula beroperasi pada penghujung tahun ini. Tidak sekadar itu,  kesepakatan bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) turut dijalankan bagi meluaskan lagi akses laluan pejalan kaki ke stesen bas dan LRT buat pengguna.

Malah semakan penambahan lorong perkhidmatan bas kelak dijangka akan meningkatkan lagi tahap kecekapan dan kekerapan pengangkutan awam bersama kumpulan penumpang. Sasaran ini juga tidak hanya tertumpu kepada penambahan akses tetapi turut akan meningkatkan kualiti fasiliti di stesen bagi meningkatkan lagi kemudahan pengguna secara berkala.

Dengan usaha ini, sasaran 40% penggunaan tersebut berupaya dicapai dan hasilnya tidak sekadar membantu mengurangkan tekanan trafik bahkan membantu memulih persekitaran ekonomi semasa, penjimatan kepada pengguna dan tahap produktiviti kumpulan pekerja.