Meskipun berdepan tekanan dan cabaran ekonomi global, Malaysia terus mengekalkan prestasi ekonomi pada tahap yang seimbang. Apabila sepanjang 3 bulan pertama tahun ini berupaya merekodkan pertumbuhan ekonomi yang positif dengan perkembangan 4.4%.
Data Bank Negara Malaysia (BNM) bersama Jabatan Perangkaan (DOSM) ini menjelaskan, aliran positif itu didorong hasil pertumbuhan domestik yang baik. Sebagai perincian aliran perbelanjaan penduduk Malaysia dilihat kekal mampan berikutan pasaran pekerjaan yang positif disusuli sokongan dasar pendapatan yang lebih baik berlaku pada tahun ini.
Biarpun pertumbuhan eksport secara menyeluruh dilihat sedikit perlahan namun prestasi ekonomi tersebut kekal stabil diimbangi dengan permintaan yang tinggi pada eksport elektrik dan elektronik (E&E). Sementara pertumbuhan import pula kekal sederhana dan memaparkan sokongan berterusan dari aktiviti pelaburan serta perdagangan antarabangsa di Malaysia.
Dengan prestasi sedemikian, ia secara langsung menurunkan tekanan inflasi di Malaysia apabila inflasi keseluruhan menurun kepada 1.5% berbanding suku pertama 2024 yang merekodkan paras inflasi sekitar 1.8%.
Penurunan sebahagian besarnya didorong inflasi utiliti yang lebih rendah pada 3.0%. Seperti yang umum sedari tahun lalu memperlihatkan pengenaan caj elektrik yang lebih tinggi ke atas pengguna yang menggunakan jumlah elektrik yang tinggi serta tindakan pelarasan tarif air yang turut meningkatkan kos pada tempoh tersebut.
Namun sebaliknya berlaku pada inflasi teras yang dilihat lebih tinggi kepada 1.9%. Inflasi teras iaitu pengukur kepada perubahan harga barangan dan perkhidmatan di Malaysia dilihat sedikit meningkat. Lonjakan itu menurut BNM bagaimanapun kekal di bawah tekanan untuk jangka masa panjang.
Untuk pengetahuan umum – inflasi teras mengecualikan harga makanan segar seperti daging, sayur-sayuran dan telur. Serta harga barangan yang dikawal harganya oleh kerajaan seperti elektrik, tol dan gula.
Secara menyeluruh, selaku negara ekonomi yang kecil dan terbuka, Malaysia tidak dapat mengelak daripada terkesan secara langsung atau tidak langsung oleh tarif ini. Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka rendah sedikit berbanding dengan unjuran awal antara 4.5% hingga 5.5% pada tahun 2025. Ketidakpastian yang tinggi berhubung dengan keputusan rundingan perdagangan dan cara perdagangan global akan berubah susulan keputusan tersebut menyukarkan penilaian mengenai kesan yang sebenar terhadap pertumbuhan pada masa ini.